Kerja Adalah Ibadah Dan Amanah | SPORTS ACADEMY
» NEWS » Kerja Adalah Ibadah dan Amanah

Kerja Adalah Ibadah dan Amanah


10 Januari 2017 :

IBADAH berasal dari Bahasa Arab yang bererti ketaatan, penghambaan dan penyembahan/ pengagungan. Menurut Ibnu Taimiyyah, ibadah adalah nama yang menggabungkan setiap perkara yang disukai dan diredhai Allah dari jenis perkataan atau perbuatan lahir dan batin. Ibadah dalam Islam bukanlah terhad kepada amalan ibadah ritual semata-mata seperti sembahyang, puasa, haji dan sebagainya (ibadah khusus), malah ibadah merangkumi, kerja-kerja kemasyarakatan dan sosial, mencari rezeki, sehinggalah kepada mengurus dan mentadbir negara. Kerja pula merupakan kesungguhan seseorang melakukan sesuatu perkara bagi mendapatkan upah atau ganjaran. Manakala amanah pula bermaksud memenuhi dan mematuhi segala apa yang telah dipertanggungjawabkan.

 

Konsep kerja, ibadah dan amanah adalah merupakan tugas atau tanggungjawab untuk meraih pendapatan yang dilakukan oleh seseorang untuk mencari keredhaan Allah SWT. Ia berkaitan dengan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan, halal dan haram, syurga atau neraka. Di antara ciri-ciri pekerja dan pekerjaan yang dianggap sebagai ibadah adalah:-

 

•           Pekerjaan yang disertakan dengan niat mendapat keredhaan Allah;

•           Pekerjaan itu mestilah perbuatan yang harus atau boleh dikerjakan menurut syarak;

•           Tidak meninggalkan perkara-perkara wajib seperti solat;

•           Menghasilkan kerja yang berkualiti;

•           Dilaksanakan dengan tekun, cekap dan bersungguh-sungguh;

•           Berasaskan prinsip syariah seperti amanah, adil dan bertanggungjawab;

•           Menghindarkan diri dari perasaan riak, (menunjuk-nunjuk), ingin dipuji dan terkenal sebagai orang yang rajin, tekun, orang baik dan ingin disebut-sebut sebagai ahli ibadah oleh orang ramai, suka berbangga dengan memberitahu kepada orang lain akan amal kebajikannya dan menghindarkan diri dari merasa bangga kerana ia telah banyak berbuat kebajikan dan amal ibadah.

 

Islam mengajar umat-Nya agar sentiasa berusaha mengamalkan budaya kerja yang cemerlang dengan bertunjangkan iman dan akhlak. Bagi yang menyedari hakikat ini, mereka akan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti dan produktiviti pada setiap masa tanpa rasa jemu. Mereka sedar bahawa bekerja itu bukan sekadar tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara malah ia merupakan amanah Allah SWT.

 

Berapa ramai di antara kita (pekerja) yang sedar tentang perkara ini. Berapa ramai komuniti pekerja yang memandang remeh mengenai kerja, bekerja dengan sambil lewa, curi tulang, menggunakan peralatan pejabat untuk kepentingan peribadi, solat pada waktu kerja sedangkan masa yang diperuntukkan untuk solat diisi dengan berbual kosong.

 

Makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah Allah semata-mata.

(Surat An-Nahl, ayat 70)

 

Justeru, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan istiqamah pada niat seawal melangkah keluar dari rumah bahawa semua kerja yang dilaksanakan kerana Allah SWT. Mudah-mudahan setiap pergerakan dari mula hingga pulang ke rumah dikira sebagai ibadah dan rezeki yang diterima penuh dengan keberkatan.


Rencana Oleh : Program Pengupayaan Kendiri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat

 


Date of Input: | Updated: 16/03/2017 | faiz_suparman

MEDIA SHARING

SPORTS ACADEMY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
603 9769 1134
603 9769 1126
SXEUPAn~