KUALA LUMPUR: Atlet lompat bergalah negara, Nor Sarah Adi menyifatkan musim 2023 sebagai kurang memuaskan buat dirinya meskipun berjaya mencatat rekod peribadi baharu iaitu 4.05 meter (m).
Ini kerana atlet berusia 23 tahun itu banyak mengharungi proses pemulihan buku lalinya sekali gus terlepas banyak sesi latihan dan pertandingan sepanjang tahun ini.
Situasi itu menjadi punca dia 'bergelut' dengan tiga galah miliknya sehingga dia tidak berjaya melakukan sebarang catatan di Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu pada Ogos dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, bulan lalu.
Namun dia kekal positif dengan penyertaannya pada dua temasya terbabit dan bertekad mengambil pengajaran bagi memperbaiki prestasinya pada masa akan datang.
"Saya ada tiga galah, semuanya bersaiz 4.45 (meter) dan berat pula 69 (kilogram), 70 serta 73. Saya guna galah 4.45m/68 di Sukan Asia tetapi galah terlalu lembut jadi tak ada momentum untuk bawa saya.
"Saya rasa sebenarnya saya boleh tetapi apabila fikir-fikir balik, biarlah dulu. Saya tidak mahu tergesa-gesa kerana tahun ini pun saya ada kecederaan dan kerap kali terlepas sesi latihan.
"Program latihan jadi tidak begitu cantik dan boleh dikatakan persediaan saya tak cukup. Perkara-perkara ini kalau tak jadi (sekarang), saya tidak nampak untuk saya (pergi) lebih jauh pada masa depan," katanya ketika ditemui pada Grand Final di Arena Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.
Sebagai rekod, Sarah yang sebelum ini mencatat 4.00m di Hanoi dan Busan memperbaiki pencapaian kepada 4.05m ketika memenangi pingat perak Sukan SEA Kemboja, Mei lalu.
https://www.bharian.com.my/sukan/olahraga/2023/11/1179905/nor-sarah-mahu-lupakan-kekecewaan-2023
Sumber : berita harian online